Lagi desas-desus tentang taktik Google untuk bersaing dengan Facebook. Jika desas-desus itu benar, maka tidak lama lagi Google akan melancarkan rangkaian sosial baru yang disebut sebagai "Google Circles". Desas-desus itu kini sangat hangat diperkatakan oleh pemerhati-pemerhati Internet kerana ia seolah-olah satu versi terbaru dari rangkaian "Google Me" iaitu rangkaian sosial yang seharusnya telahpun memulakan operasi tahun lalu tapi nampaknya hanya tinggal impian. Menurut kenyataan oleh Silicon Valley, Google Circles merupakan projek rahsia rangkaian sosial yang direka oleh Google untuk membawa kawalan dan kejelasan untuk apa yang bakal para pengguna inginkan dalam perkongsian dan dengan siapa mereka mahu dihubungkan. Ideanya ialah pengguna akan mempunyai beberapa "Circles" (lingkungan) atau rangkaian yang terdiri daripada "Ahli Keluarga," "Saudara-mara," "Rakan Sekerja," "Kawan-kawan Rapat," "Kawan-kawan Lama," dan pelbagai lagi. Seterusnya pengguna boleh menetapkan segala sesuatu yang berkaitan dengan “Post” sesuai dengan tema rangkaian yang melihatnya.Walau bagaimanapun, Google menyangkal desas-desus kenyataan tersebut dan mengatakan bahawa strategi syarikat buat masa kini hanyalah ingin menambah-baik dan menghangatkan lagi pelbagai ciri sosial ke dalam kebanyakan produk perkhidmatan Google sedia ada. Google dalam kenyataannya tidak mengatakan “Ya” kepada kemunculan Google Circle tapi pada masa yang sama Google juga tidak menafikan kemungkinan tersebut. Bagi pemerhatian segelintir pihak, mereka mengatakan bahawa hanya ada dua kemungkinan dalam penentuan pendekatan berbeza yang boleh digunakan oleh Google jika ia benar-benar ingin bersaing dengan raja rangkaian sosial Facebook dan seterusnya memenangi persaingan siapa punya rangkaian sosial lebih hebat.
Cara pertama ialah merealisasikan kemunculan Google Circles dan membuatnya mempunyai ciri-ciri yang lebih daripada apa yang terdapat di Facebook,. Google Circles juga harus bijak menanggalkan ciri-ciri yang tidak disukai oleh pengguna yang terdapat di Facebook. Namun, apa yang paling penting dalam tindakan tersebut ialah menempatkan pengguna di bawah kawalan yang terbaik yang boleh membuat mereka berasa selamat dalam kawalan tersebut terutamanya yang berkaitan dengan maklumat peribadi mereka. Cara kedua untuk menang bersaing ialah dengan membuat pengguna dapat menyedari adanya perkhidmatan Google yang benar-benar bercirikan sosial penuh, tidak seperti yang terdapat dalam kebanyakan perkhidmatan lain oleh Google yang mana pengguna tidak dapat berasa nikmat sebenar maksud sosial tersebut.
Mampukah Google melakukan kedua-dua strategi tersebut? Jika ada kemahuan untuk benar-benar bersaing, tidak mustahil Google akan bertindak lebih baik dengan mempertimbangkan pandangan-pandangan daripada para pengguna. Kebaikannya, Google akan menerajui perkhidmatan rangkaian sosial terhebat di dunia mengalahkan Facebook. Tetapi, jika dilihat pada strategi Google sebelum ini dalam pembikinan pelbagai perkhidmatannya, pandangan pengguna hanya tinggal pandangan begitu sahaja, belum ada perkhidmatan sosial oleh Google yang benar-benar berjaya membuat pengguna berasa seronok dan nikmat sepertimana yang ditawarkan oleh Facebook.
Jika anda kurang memahami maksud yang cuba diutarakan ini, cuba lihat pada ciri “Google Dashboard” oleh Google. Ketika Google melancarkannya lebih kurang satu setengah tahun yang lalu, akhbar-akhbar laman maya memaparkan bukti bahawa Google terlalu mengetahui tentang maklumat dan latar belakang penggunanya kerana Google mencatat dan menyenaraikan segala maklumat pengguna apabila mereka menggunakan perkhidmatan Google termasuk maklumat yang berkaitan dengan sejarah carian. Jika anda lihat sendiri Google Dashboard masing-masing, anda akan menyedari bahawa anda jauh lebih terikat kepada Google berbanding Facebook kerana Google memiliki address book anda yang diserasikan pula dengan smartphone anda. Demikian pula dengan blog anda sendiri, pemerhatian ke atas kalendar anda, malah Google tahu maklumat berkaitan kad kredit anda. Lebih ke hadapan daripada itu ialah Google bahkan tahu lokasi di mana anda berada melalui perkhidmatan Google Latitude. Google mengetahui penggunanya dengan begitu baik dan terperinci melalui pelbagai produk perkhidmatan yang ditawarkannya.
Sekiranya Google mengintegrasikan segala kelebihan yang ia miliki ini menjadi satu pakej dan dipersembahkan melalui satu rangkaian sosial, sudah pasti semua itu akan dapat membantu penggunanya mempunyai lebih ramai rakan berbanding Facebook. Pengguna akan dapat mengekalkan hubungan berpanjangan dengan rakan-rakan, berkongsi address book yang nyata benar-benar bermanfaat bagi tujuan perhubungan pengguna, diserasikan pula dengan ciri kalendar dan kemampuan untuk membeli barang dengan hanya satu klik. Dalam erti kata lain, jika Google benar-benar mahu melancarkan Google Circles, rangkaian sosial yang baru itu sudah pasti akan menjadi pesaing paling terbilang, kerana sebagai ahli di dalamnya, pengguna akan menyukainya untuk satu jangka masa yang panjang, apatah lagi dengan ciri yang memampukan pengguna untuk mempunyai ratusan atau ribuan rakan-rakan yang sesuai dengan citarasa mereka yang boleh dipadankan melalui maklumat yang relevan dengan maklumat peribadi pengguna sendiri.
Jadi, sudah seharusnyalah Google mempertimbangkan pandangan pengguna dan para pemerhati yang ternyata boleh masuk akal. Google perlu bersifat lebih telus dan mempunyai keterbukaan dalam hal itersebut. Ini akan memberi kelebihan kepada Google untuk memenuhi kehendak pengguna dengan lebih jelas dan tepat serta mampu menampilkan ciri-ciri kawalan ke atas perkongsian sosial yang lebih luas. Apa-apapun, keputusan terbaik berada di tangan Google sendiri. Kenyataannya para pengguna telahpun sekian lama menggunakan perkhidmatan sosial Google secara sedar dan tidak sedar.
Jika sebelum ini Google sudahpun membuktikan kepada dunia bahawa ia boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan Yahoo melalui perkhidmatan enjin cariannya, demikian pula dengan kejayaannya bersaing dengan Hotmail apabila ia menjadi antara penyedia perkhidmatan email terbaik melalui GMail dan sekali lagi ia buktikan melalui perkhidmatan browser Google Chrome dalam usahanya untuk bersaing dengan Mozilla Firefox, dan banyak lagi usahanya sebelum ini yang tidak boleh dinafikan oleh banyak pihak, maka tidak mustahil impiannya untuk cuba bersaing dengan Facebook dalam menerajui perkhidmatan rangkaian sosial sudah pasti boleh tercapai.
Segala-galanya adalah mungkin bagi Google walaupun perlu mengambil masa lagi untuk membuat penyelidikan dan kajian tentang bagaimana ia boleh menarik minat pengguna melalui persembahan yang telus seperti yang dilakukan oleh Facebook. Jadi, walaupun Google masih tersipu-sipu mahu mengakui kebenaran mengenai projek Google Circle tersebut atau mungkin juga ditukar namanya kepada yang lebih sesuai, apa yang menjadi penantian setiap orang ialah apakah ciri-ciri yang bakal ditawarkan oleh Google Circle yang tidak terdapat dalam MySpace, Twitter dan Facebook yang mampu meletakkan rangkaian sosial gaya Google sebagai rangkaian sosial nombor 1 dunia?
* Facebook is the best at the moment but Friendster will always be my lovely baby, even after having created an account or two with Google Circles tomorrow. :-D

No comments:
Post a Comment